Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara
diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa’: 34)
Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah,
antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang
makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.
Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa’di r.h. berkata: “Tugas seorang isteri adalah
menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman:
Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika
suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya”. Iaitu taat kepada suami mereka bahkan
ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya.
(Taisir, hal. 177)
Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau
bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada
baginda SAW dengan firman yang bermaksud:Jika sampai Nabi menceraikan kalian,
mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik
daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat),
‘abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis.
(at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]
Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang wanita menjaga
solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada
suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam
syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai”
(riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami’ no. 660, 661)
Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah
adalah sebagai
1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa
menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.
2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan
banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.
3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah
yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.
4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir
kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan
membawa dosa seperti dusta dan lainnya.
5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada
Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.
6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya
dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga
yang hendak mendengar. Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.
Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:
1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya.
Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang
menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali
kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan
tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: “Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda”.
(riwayat al-Nasai dalamIsyratun Nisa no. 257.)