Masuk sahaja usia 6 bulan, kebanyakan bayi sudah mula diperkenalkan kepada makanan pejal. Sedikit demi sedikit mereka belajar mengenali makanan yang pelbagai jenis dan rasa. Supaya anak terus mendapat makanan yang berkhasiat dan berguna untuk tumbesarannya, ada beberapa tip yang boleh dikongsi bersama. 
Setelah semakin membesar, tabiat pemakanan anak anda akan mula berubah. Begitu juga dengan keperluan pemakanannya. Tahun-tahun awal ini adalah waktu pesat untuk perkembangan fizikal dan mentalnya. Ini jugalah masanya tubuh memerlukan lebih nutrien untuk memastikan tumbesaran berjalan lancar. Ketika ini peranan ibu bapa sangat penting. Mereka perlu memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut anak benar-benar berkhasiat.
Untuk membantu anak mendapatkan nutrien yang cukup bagi tumbesaran yang optimum, ada beberapa tip boleh dijadikan amalan.
Tip 1: Beri protein yang mencukupi
Jumlah protein yang mencukupi dalam diet harian anak penting untuk kesihatannya. Protein bukan sahaja menyumbang ke arah tumbesaran tubuh untuk kanak-kanak yang sedang membesar tetapi juga untuk membantu membina dan memperbaiki tisu badannya yang rosak. Berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien (Recommended Nutrient Intake -RNI) untuk rakyat Malaysia, kanak-kanak yang berusia di antara satu hingga tiga tahun memerlukan sebanyak 14gm protein setiap hari manakala kanak-kanak yang berusia di antara empat hingga enam tahun memerlukan sebanyak 23gm protein setiap hari. Oleh yang demikian, pastikan anak anda mendapat protein yang secukupnya.