Perancangan Bijak Untuk Kehamilan Dan Kelahiran
Setelah 40 minggu di dalam kandungan, tibalah masanya untuk cahaya mata anda melihat dunia. Ketika itu, pastinya sudah terbayang-bayang wajah si comel anda di depan mata. Jadi, untuk merealisasikan impian tersebut, anda perlulah menjaga kandungan sebaik mungkin. Rutin pemeriksaan antenatal mesti dipatuhi dan sentiasa menjaga kesihatan.  
Hakikatnya, dalam kehamilan, ada banyak perkara di luar jangkaan. Antaranya ialah kelahiran pramatang dan komplikasi-komplikasi lain yang boleh membahayakan nyawa ibu mengandung serta anak di dalam kandungan. Supaya ibu-ibu hamil lebih bersedia, fakta-fakta di bawah boleh dijadikan panduan.
Fakta 1
Menurut jurnal perubatan The Lancet, (isu 2010), daripada 7.6 juta kanak-kanak bawah lima tahun yang meninggal dunia, 1.078 juta daripadanya disebabkan oleh komplikasi kelahiran pramatang.
Fakta 2
Masalah kesihatan yang dialami oleh ibu hamil seperti penyakit kencing manis boleh menyebabkan komplikasi pada bayi di dalam kandungan. Menurut baby center.com (semakan terakhir: Februari 2012), bayi-bayi yang menerima terlalu banyak gula di dalam darah semasa kehamilan akan mempunyai masalah kesihatan selepas kelahiran seperti gula dalam darah yang rendah (hipoglisemia) dan jaundis. Sehubungan itu, tahap gula di  dalam darah bayi mungkin perlu diawasi untuk sementara waktu di unit neonatal.